Apa itu Cinta? [End]

11:33 AM Faz.M 0 Comments


"Bunga, hujung minggu ni kamu boleh balik rumah tak?," Soal ummi di hujung talian.

"Kenapa ummi? Ada hal penting ke?" Bunga menyoal kembali kerana selepas 15 minit berbual ditalian bersama ibunya tidak pula ibunya menunjukkan tanda-tanda mahu memanggilnya pulang.

"Serba-salah ummi nak bagi tahu kamu. Sebenarnya, ada seseorang yang datang merisik. Katanya kalau kamu setuju nak terus ditunangkan kamu berdua sebab pihak lelaki tu nak pergi luar negara dah. Macam mana?"

Bunga terdiam. Mindanya terus menyusun kata.

"Siapa dia ummi? Ummi dengan walid kenal?" Soal Bunga dalam nada getarnya.

"Walid kenal mak ayah dia. Kenal macam tu jela sebab dulu walid pernah sama-sama pergi kursus dengan ayahnya dia. Masa tu la kenal. Lepas tu ada jugak la jumpa dekat majlis-majlis. Kata Haji Salim, anaknya tu yang suruh carikan calon sebelum pergi luar negara."

Bunga mendengar dengan teliti penerangan dari ibunya yang panjang lebar.

"Ummi tahu nama dia?" Soal Bunga perlahan.

"Em, ummi tak ingat la Bunga. Tapi, ayahnya selalu panggil Fakhrul. Nama penuh tu ummi tak berapa pastilah Bunga." Bunga terdiam seketika seakan berfikir.

"Ummi, bagi Bunga masa untuk fikir boleh? Bila dah ada jawapannya nanti Bunga bagi tahu pada ummi ye." Akhirnya keputusan itu yang diucap kepada ibunya.

"Yela Bunga. Ummi tak paksa Bunga tau. Bunga fikir betul-betul. Buat istikharah. Kalau baik bagi Bunga, baik juga la bagi ummi. Ummi terima apa saja keputusan Bunga." Bunga menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tahu ummi dan walid tidak mendesaknya untuk membuat keputusan.

*****************************************

Bunga termenung di jendala di kala dingin pagi menyentuh lembut batang tubuhnya. Udara pagi yang segar dihirup sepuas-puasnya. Esok, dia akan pulang semula ke kota lumpur setelah cuti hujung minggu di kampung. Tangannya di sentuh perlahan lantas berlanggar dengan sebentuk cincin di jari manisnya. Bunga tersenyum sambil ralit memerhatikan cincin emas putih bersama sebiji batu berlian di atasnya. Dia termenung jauh semula.

"Bunga dah ada keputusannya ummi." Bunga seakan teragak-agak untuk bersuara. Hatinya kini yakin kerana  dengan izin Allah, keputusan inilah yang dirasakan terbaik untuk dirinya. Biar tidak mengenali siapa gerangan si jejaka. Namun, Bunga yakin akan jawapan yang diperoleh setelah 3 hari beturut-turut membuat solat istikharah. Selepas solat juga dia tidak henti-henti berdoa semoga mendapat jawapan yang terbaik bukan buat dirinya sahaja, malah buat keluarga tercinta.

"Apa dia Bunga? Bunga jangan buat kerana ummi dan walid ye. Ummi percaya apa saja yang berlaku, itulah yang terbaik buat Bunga." Ummi seakan meluah rasa. Baginya, masa hadapan Bunga sangat penting.

"Ummi dengan walid jangan risau ya. Bunga yakin dengan keputusan Bunga. Ini semua dengan izin Allah ummi." Bunga berkata dengan begitu yakin sekali.

"Baguslah Bunga. Pada ummi dengan walid, kami berdua hanya mahukan Bunga bahagia. Itu saja nak." Lembut tutur kata ummi dipendengaran Bunga.

"Ummi beritahulah mak ayah Fakhrul yang Bunga dah bersedia. Hari jumaat ni Bunga balik ye ummi." Di suarakan jua keputusan nekadnya.

"Alhamdulillah, baik Bunga. Nanti ummi suruh walid beritahu pada keluarga Fakhrul. Bunga jangan risau. Rasanya sempat lagi nak buat persiapan ni. Kita buat ringkas saja. Ummi buat sikit-sikit dulu sementara Bunga belum ada ni ya." Bunga cuma tersenyum mendengar kata bondanya yang tercinta. Jelas kedengaran nada ceria dari suaranya.

****************************************

Selesai mengucup tangan Puan Fatimah, Bunga mengangkat wajahnya melihat raut wajah bakal mertua. Puan Fatimah tersenyum manis lantas mengucup lembut dahi Bunga. Hati Bunga di terjah rasa terharu. Terasa hangat kasih sayang yang baru lahir. Walaupun baru hari ini mereka bersua muka.

"Fakhrul sangat bertuah punya tunang sebaik Bunga." Ayat yang lahir dari mulut Puan Fatimah buat Bunga menggeleng kepala tanda menidakkan kenyataan Puan Fatimah. Bunga bersuara.

"Tak aunty. Bunga hanya gadis biasa yang hidup atas landasan syariat. Tiada yang istimewa tentang Bunga." Puan Fatimah tersenyum lagi. Akur dengan sifat rendah diri yang menebal dalam diri Bunga. Perlahan beg tangannya di ambil di sisi sebelah kiri. Di capai sekeping sampul surat dan di beri pada Bunga.

"Sebelum berangkat, Fakhrul suruh beri surat ni pada Bunga." Bunga mencapai sampul surat berwarna biru tua itu.

"Fakhrul dah pergi?" Bunga bertanya. Mengikut kata uminya Fakhrul berangkat minggu hadapan. Selepas selesai majlis.

"Sudah. Banyak hal nak diuruskan sebelum mendaftar di sana. Terima kasih sebab Bunga terima Fakhrul. Ibu tahu Fakhrul banyak kekurangan. Tapi, ibu sendiri dapat lihat perubahan dia. Ibu harap Bunga boleh terima Fakhrul seadanya ya." Puan Fatimah lancar membahasakan dirinya sebagai 'ibu' di hadapan Bunga.

"Ibu, Bunga pun masih banyak kekurangan. Manusia mana yang sempurna ibu." Puan Fatimah mengangguk perlahan. Makin menebal kasihnya untuk Bunga.

*********************************************

Bunga tersenyum lagi lantas pandangannya di hala ke arah meja belajar. Langkah kakinya di atur ke sana. Sampul surat biru tua itu di capai. Bunga berniat untuk membaca warkah kiriman Fakhrul buat dirinya.

Assalamualaikum...
Jika warkah ini sampai di tangan Bunga, bermaksud Bunga sedia menerima lamaran saya. Maaf, kerana kita tidak sempat bersua muka. Terima kasih tak terhingga kerana sudi menerima diri ini. Saya sedar saya tidak layak untuk bergandingan dengan gadis sebaik dan sesuci Bunga. Tetapi, insyaallah saya cuba untuk perbaiki diri. Kerana itulah saya pergi membawa diri. Mengharapkan akan ada 'sesuatu' yang akan saya perolehi di negara matahari terbit itu. Mengharapkan agar saya benar-benar faham bahawa Apa itu cinta?


Bunga,
Sebelum saya sah menjadi suami awak, saya mahu perbaiki diri saya. Saya mahu jadi suami yang terbaik. Saya mahu memimpin tangan awak bersama-sama dengan saya ke pintu syurga. Saya tahu banyak khilaf yang telah saya lakukan. Terima kasih kerana sudah menyedarkan saya.


Mungkin diri saya tidaklah setanding dengan Khairul Azam yang bijak, baik hati lagi soleh. Mungkin juga saya tidak sekuat Syamsul Hadi ketika ditimpa musibah. Kerana itulah saya perlukan awak untuk lengkapkan hidup saya dikemudian hari.


Ikhlas dari,


Fakhrul Azimi (Azim)

Air mata Bunga bergenang. Tidak disangka Fakhrul yang disebut-sebut itu merupakan kawan baiknya. Tetapi, Bunga cukup bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia mengenali diri tunangannya itu. Bunga tahu Azim sedang mencari dirinya kembali. Sedang cuba untuk mengisi hidupnya dengan berbakti kepada Allah SWT. Jauh dilubuk hati, Bunga memanjatkan doa, semoga tunangannya itu menemui apa yang dicarinya selama ini. Insyaallah....

Apa itu cinta? [1]
Apa itu cinta? [2]
Apa itu cinta? [3]


p/s: Maaf ambil masa yang cukup lama untuk selesaikan kisah ringkas antara Azim dan Bunga ini. Ya, maybe ia agak klise. Tapi, apa yang saya cuba sampaikan adalah, adakah kita benar-benar faham maknanya cinta. Cinta bukan untuk lelaki dan perempuan semata-mata. Tapi, cinta adalah apa yang kita mahu dalam hidup. Cinta kepada kekasih, pada suami atau isteri, cinta pada ibu bapa dan adik beradik. Semua itu kita akan rasa. Tapi, sebelum menakluki semua RASA itu kepada manusia, RASAILAH cinta buat yang Agung iaitu cinta kepada Allah SWT dan juga cinta kepada Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Semoga anda berpuas hati dengan karya saya yang tak seberapa ini. terima kasih pada yang sudi MEMBACA.... :)

0 orang bagi komen: